Oleh Norlaila Hamima Jamaluddin
norlaila@hmetro.com.my
Apakah badan juga mempunyai hak? Ya, ramai yang tidak tahu
bersenam adalah hak badan kerana badan kita memang direka untuk bergerak
aktif. Mengapa penulis kata begitu? Bergerak aktif atau bersenam antara
cara mudah mengekalkan kesihatan.
Badan kita dipinjamkan Allah buat sementara waktu dan adat meminjam,
perlulah menjaga badan dengan baik. Inilah antara tanggungjawab yang
perlu kita tunaikan segera. Usah beri alasan tidak ada masa kerana semua
orang diberikan 24 jam sehari, tidak lebih dan tidak kurang. Beza
antara kita ialah semangat dan kemahuan untuk memulakan hidup baru yang
aktif.
Contoh terbaik ialah Nabi Muhammad SAW sendiri sebagai individu yang
sangat aktif. Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa: "Aku tidak pernah
melihat seorang pun yang terlebih kacak daripada Rasulullah. Cahaya dan
seri wajahnya seolah-olah matahari itu sendiri memancar di mukanya. Dan
aku tidak pernah melihat seorang yang terlalu lasak berjalan selain
baginda seolah-olah bumi bergulung untuknya. Jika pada satu masa baginda
di sini, sebentar lagi akan kelihatan baginda di sana. Walaupun ada
ketika baginda berjalan secara biasa, namun kami yang mengikuti baginda
terpaksa melangkah dengan susah-payah (terpaksa berjalan dengan lebih
lasak untuk bersamanya)".
Dalam Seminar Kesihatan Islam lalu, pendakwah, Dr Zulkifli Mohamad
Al-Bakri, penerima anugerah Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Wilayah
Persekutuan 2012 berkata, badan kita ada haknya sendiri iaitu hak
kesihatan yang perlu dijaga dan dirawat apabila sakit. Kesihatan yang
dimaksudkan di sini ialah sihat badan dan akal.
Katanya, penyakit yang dihidapi kebanyakan masyarakat kini adalah kesan
daripada tindakan kita sendiri kerana banyak penyakit yang dapat
dihindari dengan mengamalkan gaya hidup cergas dan berfikiran cerdas.
"Masalah kita sekarang terlalu banyak makan. Apabila banyak makan, akan
ada masalah penghadaman. Sebagaimana sabda Rasulullah, perut itu rumah
segala penyakit. Maknanya ia membabitkan isu atau tabiat pemakanan.
"Inilah sebabnya dalam Islam ada konsep berpuasa untuk sihat. Puasa
diperakui ramai pakar pemakanan sebagai terapi kesihatan yang unggul,"
katanya.
Puasa boleh menguatkan sistem imun dan mengurangkan risiko obesiti dengan syarat bersederhana ketika berbuka.
Makanan menjadi punca masalah kesihatan apabila:
Makanan yang diambil tidak bersih
Makan terlalu banyak dan tidak mengikut peraturan (jadual makan)
Mengambil makanan yang haram
Satu perkara lagi yang memang sudah diketahui umum boleh menjejaskan kesihatan ialah tekanan.
Dr Zulkifli berkata, antara sebab ramai mengalami tekanan ialah
sebahagian besar antara kita tidak lagi menyediakan kehidupan yang
normal. Normal maknanya bekerja pada waktu siang dan tidur serta berehat
pada sebelah malam. Saranan Islam, tidur awal pada waktu malam supaya
keesokan paginya kita juga boleh bangun awal.
Namun sekarang, ramai tidur lewat malam (malah ramai yang sanggup
bersengkang mata melayari Internet dan laman sosial hingga awal pagi)
dan bangun apabila hari sudah tinggi, sehingga ada yang terlepas solat
Subuh dan tergesa-gesa ke tempat kerja serta tidak sempat bersarapan,
apatah lagi untuk bersenam.
Soal kepentingan mempunyai tubuh yang sihat sebenarnya tidak perlu
diperkatakan lagi. Sihat adalah satu nikmat yang sangat besar. Zaman
dulu, jumlah tentera Islam yang diketuai Nabi Muhammad SAW sangat kecil
jika dibandingkan dengan pasukan lawan. Seorang tentera Islam menentang
dua, tiga hingga 20 tentera lawan - dan masih beroleh kemenangan.
Ini menunjukkan tahap kesihatan, kecergasan dan kekuatan mereka sangat
tinggi. Kecergasan dan ketangkasan orang dulu mungkin sukar ditandingi
tetapi kita masih boleh menjaga kesihatan dan meningkatkan kekuatan diri
dengan beriadah, sekurang-kurangnya tiga kali seminggu, 30 minit setiap
sesi.
Kata Dr Zulkifli lagi, Rasulullah menjaga kesihatan dengan matlamat
jelas iaitu untuk beribadat kepada Allah. Kesihatan ialah alat untuk
melakukan ibadat dengan lebih baik.
Kesihatan dan ibadat sebenarnya dua perkara yang saling berkait. Kita
menjaga kesihatan supaya boleh beribadat. Sebaliknya beribadat juga cara
untuk menjaga kesihatan. Mengambil wuduk contohnya mempunyai hikmah
tersendiri. Ulama Fekah ada menjelaskan hikmah wuduk sebagai sebahagian
daripada usaha untuk memelihara kebersihan fizikal dan rohani.
Anggota badan yang dicuci ketika wuduk seperti tangan, muka (termasuk
mulut) dan kaki ialah bahagian yang paling terdedah serta banyak
bersentuhan dengan benda asing. Bahkan kajian sains mengukuhkan lagi
kepentingan menjaga kebersihan khususnya tangan yang menjadi antara ejen
paling efektif dan pantas menyebarkan jangkitan.
Menurutnya, banyak ibadat, khususnya solat menjadi ubat untuk memiliki
tubuh, fikiran dan jiwa yang sihat. Pergerakan solat mempunyai manfaat
tersendiri dan ia boleh menguatkan otot perut lebih baik daripada
senaman yoga. Bahkan ada pakar perubatan yang menggunakan pergerakan
dalam solat sebagai senaman untuk meningkatkan kekuatan badan khususnya
bagi manfaat pesakit kanser.
"Solat bukan sekadar memberi kesan pada fizikal malah ia sangat penting
untuk menguatkan spiritual. Ahli falsafah Yunani, Plato menyebut 'tidak
mungkin tubuh akan sihat jika jiwa kita tidak sihat'. Solat tetap wajib
dilakukan ketika sakit, ia sebagai bukti iman yang tidak
berbelah-bahagi, tanda kesabaran dalam menghadapi ujian, tanda insaf
atas dosa dan maksiat (kesalahan) yang kita lakukan serta cara untuk
memohon penyembuhan segera daripada Allah," katanya.
Tidak dinafikan, ada pesakit yang marah apabila diminta menunaikan
solat sedangkan solat itu sendiri sebenarnya salah satu penawar
penyakit. Solat akan menguatkan semangat seseorang yang boleh
menjadikannya berfikiran positif. Bersikap dan berfikiran positif secara
tidak langsung akan membuatkan badan bertindak balas lebih baik
terhadap rawatan.
Menyedari kepentingan dan manfaatnya (sebagai terapi kesihatan jiwa dan
fizikal) serta bagi memenuhi tuntutan agama, kini ada banyak pusat
perubatan menerapkan konsep hospital ibadat terutama yang bernaung di
bawah Konsortium Hospital Islam Malaysia (KHIM) - menjadikan amalan
Islam sebagai teras perkhidmatan.
Apa beza antara hospital ibadat dengan hospital lain? Menurut Pegawai
Agama Unit Dakwah Hospital Pusrawi, Ustaz Yaakob Hamid, rawatan yang
diberikan kepada pesakit masih sama seperti hospital lain tetapi ia
diselitkan dengan elemen ibadat seperti membaca Bismillah, doa,
pemberitahuan waktu solat, membantu pesakit berwuduk atau bertayamum dan
menyediakan ruang untuk bersolat.
Pihak hospital juga menyediakan pegawai agama bagi membantu dan
mengajar mana-mana pesakit yang kurang berpengetahuan untuk menunaikan
solat selain menampal poster kaedah bersolat bagi pesakit. Malah bayi
yang dilahirkan di hospital ibadat akan diperdengarkan azan (atau
iqamat), beri air zam zam dan kurma. Mereka juga akan mengajar orang
sakit kaedah menunaikan solat mengikut kemampuan masing-masing.
Apa yang penting ialah tekad kita untuk memulakan penjagaan kesihatan
(fizikal dan fikiran) dengan lebih serius dari sekarang khususnya
sebagai persediaan menghadapi hari tua.
Kajian terbaru oleh penyelidik Scotland menunjukkan beriadah bukan saja
boleh menenangkan fikiran malah memberi perlindungan terhadap
pengecutan otak di kalangan warga senior. Pengecutan otak ini akan
menyebabkan masalah ingatan dan pemikiran. Jadi, apa lagi yang kita
tunggu?
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Hidupcergascegahpenyakit//Article/article_print